Ahad, 9 Mac 2014

Jawapan mengenai persoalan kenapa pesawat MH370 Tidak Diisytiharkan Terhempas


Jawapan mengenai persoalan kenapa pesawat MH370 Tidak Diisytiharkan Terhempas

Pesawat Boeing 777-200 milik Malaysia Airlines dalam penerbangan dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing yang hilang sejak awal pagi Sabtu sehingga lewat petang masih belum lagi dapat disahkan nasibnya.

Apa yang menimpa pesawat yang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu menjadi spekulasi orang ramai yang memulakan hari minggu mereka dengan berita yang mengejutkan itu.

Kebanyakan laporan media menyebut pesawat itu dipercayai terhempas di perairan Laut China Selatan, berdasarkan kepada lokasi akhir pesawat berkenaan dikesan melalui sistem perhubungan penerbangan.

Tetapi kenapakah pihak berkuasa belum mengesahkan laporan tersebut?

"Memang secara umumnya, siapapun boleh mengatakan pesawat itu terhempas tetapi kalau terhempas di manakah bangkainya?

"Hanya kalau ada bangkai pesawat ditemui barulah pesawat itu boleh disahkan sebagai terhempas," kata seorang pakar penerbangan kepada Astro AWANI.

Beliau yang enggan dikenali mempunyai pengalaman bertahun-tahun dalam soal kawalan trafik udara serta selok belok operasi mencari dan menyelamat.

Penerbangan MH370 terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Subang kira-kira pukul 2.40 pagi, awal Sabtu, dua jam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Ia membawa 239 penumpang termasuk 2 orang bayi dan 12 anak kapal dari 14 buah negara. Ia sepatutnya mendarat di Lapangan Antarabangsa Beijing pada pukul 6.30 pagi.

Ditanya bagaimanakah pesawat itu boleh hilang daripada radar, pakar berkenaan menjelaskan, ada kemungkinan pesawat itu terbang rendah pada paras bawah 500 kaki dari aras laut.

"Ada dua jenis radar yang digunakan iaitu radar pengawasan utama dan radar pengawasan sekunder," katanya.

Radar pengawasan utama mengukur hanya jangkauan dan arah kompas dengan mengesan isyarat kelip pada skrin. Radar pengawasan sekunder pula sebaliknya tidak hanya mengesan maklumat yang sama tetapi boleh mengesan maklumat lain seperti paras ketinggian penerbangan dan identiti pesawat.

Tambah pakar itu, biarpun terputus hubungan dengan pusat kawalan trafik, kedudukan pesawat itu masih boleh dikesan sekiranya ia terhempas kerana dilengkapi dengan sistem lampu suar tanda lokasi (emergency locator beacon) yang akan mengeluarkan isyarat apabila terhempas.

"Sistem ini kalis air. Maknanya, kalau pesawat terhempas ke dalam laut sekali pun ia akan dapat dikesan," katanya.

Jelas beliau, apabila pesawat itu terkena impak baik di darat mahupun di laut, sistem itu akan terus mengeluarkan isyaratnya.

Di kalangan pemerhati industri penerbangan, insiden MH370 mengingatkan kepada nahas pesawat jenis Airbus 330-203 milik Air France yang terhempas ke dalam laut di perairan dengan Rio de Janeiro pada 1 Jun 2009 tetapi bangkai pesawat itu hanya ditemui dua tahun kemudian.

MH370 dipandu oleh juruterbang Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53 tahun, yang berpengalaman mencatatkan jam penerbangan selama 18,365 jam. Beliau menyertai Malaysia Airlines pada 1981. Zaharie dibantu oleh Pegawai Pertama, Fariq Ab Hamid, 27 tahun, yang menyertai Malaysia Airlines pada 2007.

Sementara itu bekas Pengarah Urusan Penerbangan MAS, Tan Sri Abdul Aziz berkata penjelasan mengenai insiden ini perlu dibuat dengan berhati-hati dan maklumat yang lengkap kerana ia membabitkan implikasi perundangan.
Sedikit penjelasan mengenai isu-isu yang dibangkitkan pihak tertentu berhubung isu penerbangan MH370, untuk difikirkan bersama:

1. Penumpang Pelbagai Negara

Kita perlu ingat bahawa dalam pesawat MH370 tersebut terdapat lebih 15 kewarganegaraan dengan kapasiti sebanyak 227 orang. Hal ini sebenarnya memberikan sedikit sebanyak tekanan kepada pihak MAS untuk memberikan maklumat terkini kepada wakil Kedutaan / Konsulat masing-masing.

Mungkin sesetengah Kedutaan mahukan maklumat segera dan pantas apatah lagi dalam keadaan lebih 17 jam pesawat yang masih belum ditemui, juga menyumbang kepada kelewatan dan kesukaran menyalurkan maklumat terkini. Fahamilah keadaan.

2. Hubungan Diplomatik

MH370 hilang di perairan dan di ruang udara Vietnam, dan dalam konteks ini MAS bertindak dengan berhemah dalam menjaga hubungan diplomatik antara negara.

Kita tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil pendekatan sendiri walaupun pesawat tersebut adalah milik negara kita. Sebab itulah hubungan bilateral diperlukan, kini pihak Kerajaan Vietnam sudah menggerakkan jentera menyelamatnya (Angkatan Laut Vietnam) ke perairan yang disyaki tempat kehilangan MH370.

Apabila pihak lain menjadi peneraju utama dalam misi, sudah pasti akan wujud beberapa prosedur tertentu yang digunakan oleh pihak berkenaan sebelum menyalurkan maklumat terkini kepada kita. Dalam ertikata lain ; "Lain tempat lainlah cara penyampaian", jadi memang perlu bersabar dalam perkara ini.

3. Misi Melibatkan 5 Negara

Misi mencari dan menyelamat telah pun digerakkan, Malaysia melalui Agensi Maritim dan aset ATM sudah berada di perairan berkenaan.

Terkini dilaporkan oleh Astro Awani, Maritim Malaysia tidak menjumpai sebarang objek pesawat MH370, manakala Vietnam melalui Angkatan Tentera Laut negara itu menafikan sudah menjumpai pesawat malang itu malah mereka dalam situasi mencari dan terus mencari di sekitar Pulau Vung Tau tempat di mana kali terakhir radar negara itu mengesan pergerakan MH370.

Manakala China juga sudah menggerakkan aset pertahanan laut atas arahan Presiden Xi Jinping untuk misi mencari dan menyelamat.

Singapura sudah menghantar pesawat C130 untuk misi bantuan manakala Amerika Syarikat juga menghantar bantuan kapal penyelamat ke pengairan terbabit.

Bayangkan keadaan misi menyelamat apabilan digerakkan dan disepadukan dengan pelbagai negara, sudah tentu penyaluran sebarang maklumat terkini mesti dikoordinasikan agar tidak menjejaskan proses penyiasatan sebab dan musabab "kehilangan" MH370.

Sekecil-kecil bukti sudah boleh menjadi petunjuk utama atas kejadian ini.

4. Tidak Semudah Yang Dijangka

Misi mencari dan menyelamat tidaklah semudah yang disangka memandangkan ia berlaku di kawasan lautan yang luas dan menjadi rebutan antara negara. Jadi, hentikanlah sebarang spekulasi dan tohmahan.

MAS dan pihak penyelamat sedang berusaha sedaya upaya mungkin, saya pasti mereka bekerja keras untuk memastikan MH370 dapat ditemui semula.

5. MAS Tetap Dihati

Kali terakhir MAS mengalami 'major incident' ialah pada tahun 1977 di Tanjung Kupang melibatkan 100 korban nyawa.

Selepas kejadian itu, MAS tidak pernah mengalami 'major incident' dengan korban mangsa yang besar selama 37 tahun, dalam ertikata lain MAS mencapai piawaian keselamatan pesawat yang kompeten dan diiktiraf oleh ICAO di samping pengemudian pesawat oleh juruterbang yang berpengalaman luas.

Bagaimanapun, secanggih mana sesebuah pesawat, sebarang kesilapan kecil pun boleh mengundang padah. Hanya takdir menentukan segala-galanya.

Salam takziah untuk semua keluarga mangsa MH370 dan yang pastinya MAS tetap dihati.

Dato' Abdul Rahman Dahlan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan