Selasa, 11 Mac 2014

"Ops Cantas" Tiga Warga Asing Mati, Seorang Anggota Polis Terkena Tembakan Di Sungai Petani #HanyaDiKedah


SUNGAI PETANI – Seorang anggota polis berdepan saat genting apabila terkena tembakan ketika menjalankan operasi Op Cantas Khas di Jalan Ladang Kuala Muda Sungai Petani-Baling dekat sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, anggota berkenaan terselamat kerana memakai baju kalis peluru.

“Anggota berkenaan kini menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian hari ini. 

Jelas Ahmad, dalam kejadian kira-kira 4.30 pagi itu, lapan anggota termasuk seorang pegawai polis dalam Op Cantas Khas mengekori kenderaan penjenayah itu sebelum meminta mereka berhenti setelah mengesyaki sesuatu yang mencurigakan.

Katanya lagi, kumpulan penjenayah itu melepaskan tembakan dan anggota berkenaan terpaksa mempertahankan diri dengan membalas tembakan itu menyebabkan tiga penjenayah itu terkena tembakan dan maut di tempat kejadian.

Tambah beliau, tiga penjenayah yang ditembak mati itu merupakan warga asing berusia lingkungan 25 hingga 30 tahun.

“Hasil siasatan mendapati kereta yang digunakan penjenayah itu iaitu jenis Proton Perdana dicuri di Pulau Pinang.

"Pemeriksaan juga menemui menemui parang, sejumlah dadah dan sepucuk senjata api (pistol) dalam kenderaan penjenayah," katanya.

Mayat tiga penjenayah berkenaan dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim.

Ahmad menambah, polis akan mendapatkan maklumat lanjut pembabitan tiga penjenayah berkenaan dalam beberapa kes rompakan. – Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan