Makluman

Harap Maaf. Blog baru Pisau Kedah masih di dalam proses penambah baik setelah blog lama Pisau Kedah telah di godam pihak yang tidak bertanggungjawap. Kepada yang nak link blog anda dalam blog ini sila tinggalkan link di ruangan komen blog.

Pengikut

Ahad, 23 Jun 2013

#HanyaDariKedah : 35 Dari 36 ADUN Mengangkat Sumpah Hari Ini


ALOR SETAR - Seramai 35 daripada 36 Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kedah hari ini mengangkat sumpah jawatan pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Bekas Menteri Besar Kedah Tan Sri Azizan Abdul Razak, yang juga Adun Sungai Limau, tidak hadir pada majlis angkat sumpah hari ini berikutan masih menerima rawatan susulan pembedahan memotong kedua-dua belah kakinya akibat komplikasi penyakit kencing manis baru-baru ini.

Kesemua 21 Adun Barisan Nasional (BN) dan 14 daripada pembangkang iaitu Pas (lapan), Parti Keadilan Rakyat (PKR) (empat) dan DAP (dua) mengangkat sumpah taat setia dalam memelihara dan mempertahankan perlembagaan negeri Kedah.

Mereka mengangkat sumpah di hadapan Speakar Dun yang baharu dilantik Datuk Md Rozai Safian dengan didahului Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir, diikuti oleh 34 lagi Adun.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan cadangan daripada Menteri Besar yang mengemukakan nama Md Rozai sebagai Speaker Dun yang baru dan disokong Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi Datuk Dr Ku Rahman Ku Ismail.

Md Rozai, 58, pernah menjadi Speaker Dun pada 2004 hingga 2008. Sebelum itu, beliau pernah menjadi Adun Sungai Tiang sejak 1999 hingga 2004.

Beliau bertanding di kerusi Parlimen Pendang pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2004 dan 2008 tetapi kalah.

Beliau tidak bertanding pada PRU13, 5 Mei lepas.

Selepas majlis mengangkat sumpah kesemua Adun, Mukhriz mencadangkan nama Adun Bayu Datuk Azmi Che Husain sebagai Timbalan Speaker, dan disokong oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat,
Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan Datuk Suraya Yaacob.

Pada PRU13, BN berjaya merampas kembali pentadbiran kerajaan negeri ini daripada pakatan pembangkang dengan majoriti mudah, menang 21 daripada 36 kerusi Dun yang dipertandingkan.

Daripada 15 Dun yang dimenangi pembangkang, sembilan daripadanya Pas, empat PKR manakala dua daripada DAP.

Md Rozai ketika ditemui pemberita selepas majlis itu berkata Azizan boleh mengangkat sumpah sebagai Adun di mana-mana sahaja asalkan di hadapan Speaker.

"Tidak ada masalah dengan ketidakhadiran Tan Sri Azizan hari ini. Mengikut surat yang diterima, dikatakan beliau masih 'critically ill'. Kalau diikutkan tidak ada masalah untuk beliau angkat sumpah di mana-mana sahaja asalkan di hadapan Speaker.

"Saya sendiri akan melawat Tan Sri Azizan di hospital (Pulau Pinang) dan melihat sendiri keadaan beliau nanti. Beliau ada masa enam bulan untuk angkat sumpah dan saya akan cuba pastikan masalah ini akan selesai dalam tempoh itu," katanya.

Sementara itu, wakil-wakil rakyat pembangkang telah bersetuju untuk melantik Adun Anak Bukit Datuk Amiruddin Hamzah sebagai ketua pembangkang.

Amiruddin berkata perkara itu telah diputuskan dalam mesyuarat yang dihadiri oleh semua wakil rakyat Pas (kecuali Azizan), PKR dan DAP baru-baru ini.

"Wakil rakyat lain mahu saya menjadi ketua pembangkang berikutan keadaan Tan Sri Azizan yang masih belum pulih.

Speaker dah dilantik...jadi kami (wakil rakyat pembangkang) akan menulis surat kepada speaker memaklumkan keputusan
kami," katanya. - Bernama

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arkib Blog