KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan polis pada Selasa berjaya mengesan dan menahan seorang pengguna Facebook yang bertindak biadab terhadap ucapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menerusi laman sosial itu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan SKMM, suspek yang merupakan seorang wanita ditahan untuk membantu siasatan.
"Dia dipercayai menyembunyikan diri setelah beberapa laman blog menyebarkan identitinya. SKMM juga memohon rakan-rakan suspek turut tampil ke hadapan bagi membantu siasatan lanjut," menurut kenyataan itu.
Wanita berkenaan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Suspek juga boleh didakwa dibawah Akta Hasutan 1948.
Baru-baru ini sekumpulan pengguna Facebook bertindak biadab menerusi laman sosial itu sewaktu Yang di-Pertuan Agong menyampaikan titah ucapan sempena ulang tahun keputeraan rasmi Seri Paduka yang disiarkan secara langsung di Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Dalam titah ucapan itu, Seri Paduka mahu rakyat negara ini akur dengan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 yang telah ditentukan mereka sendiri.
Titah Seri Paduka itu dipersendakan oleh seorang pengguna Facebook seperti yang didedahkan oleh laman blog 'Whats Up Brades'.
Blog itu turut menyentuh secara khusus kata-kata biadab yang dilemparkan oleh pengguna laman sosial terbabit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan