KELANTANGAN FELO Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), PROF. DATUK DR. TEO KOK SEONG yang sering sahaja menggesa orang Cina memperkasakan penggunaan Bahasa Melayu dalam
pendidikan dan pertuturan sering sahaja menghangatkan mereka yang tidak bersetuju dengannya.
Maka adalah tidak menghairankan ketika dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID, beliau meluahkan menerima pelbagai kecaman, cercaan dan kata nista yang adakalanya di luar batasan.
Namun sudah menjadi satu tanggungjawab baginya untuk terus lantang dan tidak sesekali gentar dengan cemuhan bagi terus memperjuangkan bahawa semua bangsa di negara ini perlu belajar dan bertutur Bahasa Melayu dengan baik malah akan mempertahankannya jika ada pihak yang cuba menggagalkannya.
Terbaru beliau mengecam tindakan Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) sebagai melampau kerana bersikap keterlaluan dalam melindungi bahasa Cina selain menyatakan tidak ada negara lain di dunia yang membenarkan kaum Cina terus hidup sebagai 'Cina' kecuali di Malaysia.
Kok Seong juga mahu pertubuhan itu berhenti membuat tuntutan melampau sebaliknya menggunakan pendekatan mengambil kira resam 'di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung'.
Kita hidup di Malaysia dan adalah perlu untuk mereka mengikut adat resam dan budaya tempatan dan berdiri sebagai satu bangsa yang berbangga dengan jati diri Malaysia tanpa perlu mengorbankan identiti sebagai orang Cina," kata beliau.
MINGGUAN: Pada pandangan Datuk kenapa Dong Zong terlalu bertegas dalam mempertahankan sekolah vernakular dan langsung tidak mahu bertolak ansur dalam hal ini?
TEO KOK SENG: Pertama sekali kita perlu memahami peranan dan kewujudan Dong Zong itu sendiri. Ia merupakan sebuah badan yang cukup berpengaruh melindungi bahasa Cina dalam pendidikan mereka. Kita boleh katalah mereka ini bertindak seolah-olah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tetapi untuk orang Cina. Bagaimanapun bagi saya perjuangan dan usaha mereka untuk melindungi bahasa Cina setelah kita mencapai kemerdekaan 56 tahun yang lalu adalah keterlaluan dan tidak selari dengan pepatah dimana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Sebab itu saya melihat dakwaan mereka bahawa dengan pelantikan menteri yang tidak fasih berbahasa Mandarin yang dibangkitkan Dong Zong baru-baru ini sebenarnya bukanlah satu isu besar. Saya melihat dakwaan mereka ini agak melampau sedangkan orang Cina yang tidak fasih bahasa Melayu langsung tidak diungkit. Orang Cina pun tidak pernah baiki keadaan ini. Ini sesuatu yang tidak baik, saya kira sudah waktunya perkara ini dibincangkan betul-betul sebab saya kira apa matlamat sebenar orang Cina hidup di Malaysia ini.
Keduanya saya melihat tindakan Dong Zong ini dalam kebanyakan hal adalah amat anti nasional kerana perjuangan mereka ini tidak mengambil kita kedudukan dan suasana di negara ini dan mereka sering bertelagah dengan parti MCA dan Gerakan. Bagi mereka kedua parti ini tidak mampu memperjuangkan isu sekolah Cina dan sering memperkecilkan fungsi dan peranan MCA dan Gerakan. Mereka juga sering menentang hasrat Kementerian Pendidikan sebelum ini yang berniat murni mahu menggalakkan perpaduan dan pembentukan jati diri kebangsaan di kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini. Mereka dilihat anti semangat nasional kerana enggan bekerjasama dalam membentuk sebuah negara bangsa yang bersatu padu dan jati diri kebangsaan.
Dalam soal jati diri kebangsaan ini sama ada mahu atau tidak adalah perlu memasukkan simbol dan proses budaya Melayu kerana ia sudah dipersetujui dalam kontrak sosial. Maka adalah perlu bahasa Melayu ini
ditegakkan kedudukannya kerana ia merupakan Bahasa Kebangsaan jadi sudah tentu kita tidak boleh menolaknya dalam apa jua cara.
MINGGUAN: Pada pandangan Datuk apakah sekolah vernakular ini wujud kerana kaum Cina ini takut kedudukan bahasa dan budaya Cina terhapus atau mungkin ada agenda lain seperti tidak mahu proses asimiliasi seperti di Indonesia dan Thailand berlaku?
TEO KOK SEONG: Saya tidak pasti apakah tindakan mereka ini pada awalnya kerana tidak mahu proses asimiliasi berlaku dan perlu dikaji hal sebenar tentang itu. Namun adalah tidak mustahil perkara ini yang menjadi asas kenapa perlunya sekolah vernakular.
Kita maklum bahawa perjuangan mereka ini adalah untuk melindungi bahasa ibunda tetapi saya melihat tindakan mereka ini agak berlebih-lebihan dalam mempertahankan bahasa Cina sehingga mengenepikan kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Sudah tentu ia bukan sesuatu yang sihat untuk kita semua.
Namun bagi saya yang paling penting adalah kita perlu menekankan perpaduan di kalangan kaum ini kerana kita dapati selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) seolah-olah wujud semacam satu perseteruan politik yang jelas melibatkan pakatan pembangkang dan Barisan Nasional (BN). Dan perkara ini diburukkan lagi melalui tindakan pengundi Cina yang menolak BN kerana terpengaruh dengan dakwaan dan hasutan pembangkang yang bersifat perkauman dan akhirnya menjadi satu perpecahan dan permusuhan politik yang tidak berkesudahan.
Saya sangat berharap supaya kita tidak lagi memudaratkan keadaan. Saya lihat Dong Zong perlu lebih bekerjasama tentang peranan menggalakkan lagi perpaduan antara kaum serta membentuk negara bangsa Malaysia yang bersatu padu.
MINGGUAN: Apakah Datuk melihat isu sekolah dan bahasa Cina ini sering digunakan sebagai senjata politik terutama pada setiap kali pilihan raya?
TEO KOK SEONG: Kita boleh anggap begitu kerana setiap kali pilihan raya timbul maka isu berkaitan ini akan dimainkan dan nampak reaksi daripada kerajaan yang dilihat lebih berlembut dalam pilihan raya baru ini. Agak malang apabila setelah kebanyakan kemahuan ini dituruti kita lihat sokongan dari orang Cina tidak memberangsangkan.
Saya melihat permintaan Perdana Menteri yang menggesa supaya dilakukan penyatuan nasional adalah satu permintaan beliau yang mahu rakyat di negara ini berdamai demi untuk negara. Maksud perdamaian ini kita lihat melibatkan masyarakat Cina dan kerajaan kerana rata-rata mereka tidak menyokong kerajaan selain kaum-kaum lain yang menyokong pembangkang. Saya juga melihat apa yang berlaku selepas PRU-13 ini agak mencemaskan serta memperlihatkan permusuhan yang agak ketara. Antara buktinya apa yang kita lihat di dalam media sosial yang menggunakan bahasa kesat dan menghina.
Ini cukup jelas menggambarkan perasaan marah dan emosi yang wujud di kalangan rakyat yang cuba bermusuh dengan UMNO dan BN. Oleh itu agenda penyatuan nasional ini lebih kepada menyelesaikan perpecahan dan permusuhan politik dalam jangka waktu pendek. Ini kerana isu melibatkan orang Cina tidak boleh ditolak ketepi kerana kita sedia maklum bahawa mereka ini sudah melihat kemampuan kuasa yang ada pada mereka sama ada menyokong atau tidak menyokong kerajaan.
MINGGUAN: Tidakkah Datuk melihat jika perkara ini tidak ditangani dengan baik, sikap permusuhan dan sangsi antara kaum ini akan berterusan dari generasi ke
generasi dan akhirnya agenda menyatupadukanantara kaum ini tidak akan tercapai sampai bila-bila?
TEO KOK SEONG: Perkara ini sudah tentu bukan satu perkara yang sihat. Malah saya melihat sehingga sekarang pelajar-pelajar di sekolah vernakular ini masih menebal dengan perkauman dan jati diri etnik mereka. Mungkin ini dilihat bagus kepada memelihara kebudayaan dan etnik Cina itu sendiri. Namun dalam keadaan negara majmuk dan orang Melayu itu adalah majoriti dan dominansudah tentu perkara ini perlu diimbangi dengan jati diri kebangsaan. Dan apabila melibatkan jati diri kebangsaan sudah tentu ia perlu melibatkan simbol dan proses sosio budaya Melayu. Perkara ini yang kurang atau mungkin tidak ada sehingga mengakibatkan mereka kurang semangat
kebangsaan seperti tidak boleh berbahasa Melayu malah ada yang tidak tahu apa pun tentang negara ini.
Bagi saya ini adalah sesuatu yang cukup malang kerana dalam soal kerakyatan dan kebangsaan adalah perlu bagi rakyatnya bersandar kepada bahasa dan budaya kebangsaan. Agak memalukan apabila ada warganegara Malaysia yang langsung tidak boleh berbahasa Melayu atau hanya sepatah dua sahaja. Oleh itu masyarakat Cina perlu melihat perkara ini secara serius. Sudah tentu Dong Zong tidak akan melakukan perkara ini kerana ia bukan sebahagian dari skop perjuangan mereka. Namun
parti politik perlu melakukan sesuatu untuk menyelesaikan masalah ini sementara nasi belum menjadi bubur. Perkara ini adalah satu keperluan
sekarang namun malangnya kita lihat sangat jarang
pemimpin politik bercakap mengenai perkara nasionalisme kebangsaan ini.
MINGGUAN:Mungkin ini adalah satu pendekatan yang tidak popular?
TEO KOK SEONG: Memang perkara ini tidak popular dan saya mengambil contoh diri saya yang banyak menyentuh tentang perkara kepentingan bahasa Melayu di kalangan orang Cina, maka saya sering sahaja dicerca dan dimaki hamun oleh mereka. Saya juga telah membuat laporan polis tentang beberapa kecaman dan penghinaan yang dinyatakan kepada saya yang diterima melalui e-mel dan laman sosial.
MINGGUAN: Ada pandangan yang menyatakan jika anak-anak orang Cina masuk ke sekolah kebangsaan berkemungkinan tinggi mereka akan masuk Islam dan berkelakuan dan berfikir seperti orang Melayu. Apa pandangan Datuk?
TEO KOK SEONG: Saya pernah dengar dari mulut orang-orang Cina sendiri tentang kebimbangan ini namun ia bukanlah sesuatu yang logik untuk berlaku. Bagi saya hanya bersekolah di sekolah kebangsaan atau pandai berbahasa Melayu tidak boleh menjadikan anak-anak mereka ini masuk Islam atau menjadi seperti orang Melayu. Yang boleh adalah orang perempuan dan lelaki Melayu yang menjadikan mereka masuk Islam. Memang ada kebimbangan mereka takut anak-anak mereka ini di
Melayu atau di Islamkan. Namun bagi saya ini adalah satu kebimbangan yang langsung tidak berasas dan ia lebih kepada andaian semata-mata. Yang menjadi masalah sikap berlebihan mereka dalam menegakkan bahasa dan jati diri Cina keranakita perlu mengimbangi perkara ini dan bukanmengikut semata-mata hanya kerana mereka orang Cina. Kita hidup di Malaysia dan adalah perlu untuk mereka mengikut adat resam dan budaya tempatan dan berdiri sebagai satu bangsa yang berbangga dengan jati diri Malaysia tanpa perlu mengorbankan identiti sebagai orang Cina.
MINGGUAN: Tidakkah orang Cina perlu bersyukur dan berterima kasih kerana kerajaan begitu baik membenarkan sekolah vernakular ditubuhkan di negara ini kerana hakikatnya ia tidak wujud pun di negara lain?
TEO KOK SEONG: Bagi saya mungkin kita boleh katakan penubuhan sekolah vernakular di negara ini adalah sebahagian hak mereka di negara ini. Ia dijamin dalam keadaan tidak langsung di dalam Perlembagaan di mana bahasa-bahasa lain boleh diamalkan dan dipelajari dan tidak boleh dihalang kecuali untuk penggunaan maksud rasmi. Jadi secara tidak langsung orang Cina dan India ada hak dan saya kira hak sebegini tidak diberikan kepada orang Cina di negara lain. Ini sepatutnya dihargai oleh mereka dan perlu disyukuri. Tetapi malangnya seperti yang saya katakan tadi tidak ada pemimpin Cina yang mahu memberitahu tentang perkara baik ini maka mungkin sesetengah dari orang Cina ini mungkin tidak tahu betapa istimewanya mereka
diberi hak sebegini.
Kenapa saya katakan ia umpama hak istimewa adalah kita boleh lihat sendiri di Indonesia bagaimana orang Cina di sana terpaksa menukar nama mereka mengikut nama Indonesia. Malah di Thailand bukan sahaja orang Cina tidak ada keistimewaan sebegini malah orang Melayu juga tidak mendapat keistimewaan ini. Orang Melayu di Selatan Thailand tidak diberi kebenaran untuk membuka sekolah Melayu dan hanya mempelajari bahasa Melayu secara tidak formal di sekolah-sekolah pondok. Malah kita boleh lihat anak-anak muda Melayu di Selatan Thailand tidak boleh berbahasa Melayu.
Maka jati diri etnik Melayu dan Cina di Thailand sudah tidak ada walaupun jati diri nasional mereka begitu kuat. Maka di sini kita boleh melihat negara Thailand dan Indonesia begitu berjaya dalam meningkatkan jati diri rakyat mereka terutama di kalangan minoriti. Jadi saya lihat Malaysia adalah sebuah negara yang istimewa
kerana memberi kebebasan di kalangan rakyatnya terutama dalam soal mempertahan budaya asal namun janganlah sehingga berlebihan atau over protective.
MINGGUAN: Satu isu yang menimbulkan tandatanya adalah kenapa orang Cina di negara ini begitu takut anak mereka masuk Islam dan jadi Melayu. Tetapi mereka tidak berpandangan sedemikian jika menetap Barat dan tidak kisah anak mereka menjadi atau berkelakuan seperti orang Barat ataupun menukar agama kepada Kristian?
TEO KOK SEONG: Memang benar. Mereka bersedia
untuk mengasimilasi dengan orang Barat tetapi di
sini mereka tidak bersedia malah akan menolak
untuk mengasimilasi. Malah sebenarnya kerajaan
selama ini pun tidak pernah memaksa orang Cina
mengasimilasi dengan orang Melayu. Negara ini
ditubuhkan pada peringkat awal kemerdekaan atas
dasar kemajmukan etnik dan keragaman budaya.
Maksudnya kita mengakui kewujudan pelbagai
bangsa di negara ini dan membenarkan semua
bangsa-bangsa ini wujud secara terpisah dan cuba
menyatukan mereka melalui sistem pendidikan.
Walaupun wujud sekolah vernakular tetapi di
peringkat sekolah menengah semua kaum ini akan
bercantum kembali. Tetapi nampaknya sudah terlalu lewat bagi kanak-kanak yang sudah berusia 13 tahun ini kerana usaha perpaduan itu tidak begitu dirasai. Walaupun Dong Zong menyatakan sukatan pelajaran adalah sama dengan sekolah kebangsaan tetapi akibat penggunaan bahasa yang berbeza maka ia membentuk perwatakan dan jati diri yang berbeza. Sudah tentu hasilnya lain macam kerana tidak ada persefahaman sebenar kerana penggunaan bahasa yang berbeza. Seharusnya sekolah satu aliran atau sekolah wawasan adalah jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah ini tetapi melihat kepada keadaan sekarang terutama selepas PRU-13, usaha ini kelihatannya sudah agak mustahil. Apatah lagi semua parti politik Cina tidak ada semangat mahu memperkasakan perkara ini maka usaha membentuk satu jati diri kebangsaan sudah semakin sukar apatah lagi dalam keadaan politik yang sudah menjadi pelbagai acuan.
MINGGUAN: Mungkin Datuk ada pandangan tentang bentuk penyelesaian kepada masalah ini?
TEO KOK SEONG: Kalau kita benar-benar sayang kepada tanah air ini sudah sampai masanya kita duduk semeja dan lihat kembali serta bertanya bagaimana mahu menyelesaikan masalah ini untuk keharmonian dan perpaduan semua golongan masyarakat tanpa mengira agama dan kaum. Saya melihat kita perlu memanfaatkan sistem yang ada sekarang ini. Ini kerana jika kita mencadangkan usul baharu kita boleh lihat bagaimana respons dari Dong Zong dan lain-lain yang langsung tidak mahu menerima sehingga ia mampu memudaratkan hubungan yang kini sudah tidak berapa harmoni lagi. Malah Dong Zong ini sememangnya tidak
pernah mahu bersetuju dan sering prejudis dan selalu curiga tentang hasrat kerajaan yang mahu mengharmonikan semua kaum. Mereka sering menganggap usaha kerajaan ini adalah agenda kerajaan untuk menghakis sekolah dan bahasa Cina. Ini menunjukkan seolah-olah wujud satu perasaan saling tidak mempercayai antara satu sama lain. Saya boleh katakan keadaan sekarang ini terlalu runcing
umpama kita duduk serumah tetapi jika mahu ke bilik air walaupun bilik sudah berkunci tetapi masih membawa komputer riba ke bilik air kerana tidak percaya kepada rakan serumah. Soalnya bagaimana kita boleh bersatu padu dalam keadaan terlalu banyak sistem sekarang ini. Kalau boleh kita duduk semeja dan cari jalan untuk mengguna pakai cara yang diterima semua. Mungkin pihak Dong Zong sendiri boleh memberi cadangan bagaimana mahu mengendurkan ketidakpercayaan sesama kaum ini.
1 ulasan:
Pandangan kita mungkin berbeda tetapi jika dikupas dan dianalisa segala tindakan dong zong ini disebabkan pemeimpin tertinggi mereka sendiri tidak dapat mengawal kelantangan kehendak ahli mereka lalu dengan cara membaa isu yang menentang dasar kerajaan adalah langkah terbaik bagi pemimpin mereka suapay kaum melayu khusus nya sedar suapay disegerakan gerakan kearah 'satu lagi rusuahan seperti 13Mei diujudkan' hanya dengan kedaan sedemikian sahaja pemimpin dapat semula kuasa nya mengawal kehendak ahli dong zong yang dilhat semakin melampau dan merisaukan. Apa pun orang mealyu masih belum dan tidak akan memmulakan sebarang tindakan melampau yang melibat hubungan kaum kecuali terdapatnya provokasi melampau dari kaum cina secara total . contohnya : jika orang melayu kalah dalam pru dan kaum cina melantik pm dari kalangan kaum cina , maka masa aini lah raa ego dan maruah melayu dianggap tercabar.. jika tidak percaya ... kita nasihatkan kaepada dong zong ... buat lah , lakukan lah... kerana sehingga kini apa saja langkah provokasi yang dibuat terhadap orang melayu , nafsu melayu masih boleh dikawal dan menerima walau pun pahit..
Kepada dong zong ... jangan lah dijolok banyak sangat sarang tebuan..
Catat Ulasan