Tinjauan Bernama di jeti Maritim di sini hari ini mendapati petugas media mula berkumpul di situ sejak 10 pagi untuk mendapatkan laporan terkini perkembangan operasi SAR.
Beberapa aset milik Maritim bersiap sedia untuk digerakkan dalam operasi SAR dan pada pukul 1.30 tengah hari kelihatan sebuah kapal peronda milik APMM bergerak ke arah Laut China Selatan dipercayai untuk operasi SAR.
Semalam Maritim menemui tompokan minyak di kawasan Laut China Selatan, 100 batu nautika dari pantai Tok Bali dan Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Mohd Amdan Kurish berkata sampel minyak itu diambil oleh Kapal KD Amanah pada 11 pagi semalam.
Sampel minyak itu dihantar ke Jabatan Kimia di Petaling Jaya kerana di Kelantan dan Terengganu tidak mempunyai kemudahan untuk menganalisis minyak berkenaan.
Pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada pukul 12.41 tengah malam Jumaat. Pesawat itu dijadual mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi.
Mohd Amdan berkata, tompokan minyak sepanjang dua kilometer itu kelihatan berlainan kerana warnanya kekuningan berbanding tompokan tumpahan minyak kapal dagang yang biasa ditemui di mana-mana perairan.
Dalam tinjauan udara yang dilakukannya petang semalam di kawasan 70 hingga 100 batu nautika dari pantai di perairan Terengganu, Kelantan dan sempadan Thailand dan Vietnam, tidak menemui apa-apa petunjuk berkaitan pesawat MH370 yang hilang itu. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan