AIDCNews – 27/04/13 – Kaji selidik Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) dipertikaikan ramai pihak, terutamanya daripada kalangan golongan intelektual di negara ini.
Pertikaian itu dari sudut ‘timing‘, jumlah persampelan dan niat pengendali UMCEDEL itu.
Profesor Dr Azmi Hassan, Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mempertikaikan dari sudut jumlah persampelan yang tidak mewakili aspirasi 28 juta rakyat negara ini serta 13.2 juta pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) 5 Mei ini.
“Kalau berdasarkan jumlah pengundi yang layak mengundi pada PRU13 ini, kaji selidik itu terlalu kecil kerana responden hanya 0.010 peratus daripada jumlah pengundi,” katanya ketika dihubungi Bernama
Kaji selidik itu yang dilaporkan beberapa portal berita, hanya melibatkan 1,407 responden sahaja berbanding lebih 13 juta pengundi.
Kaji selidik itu tidak menyatakan kaedah kaji selidik, profil responden serta lokasi kaji selidik.
Sambil menegaskan hasil kaji selidik itu tidak logik dan rakyat tidak harus mempercayainya, Dr Azmi menarik perhatian pergolakan dalam pembangkang sendiri jelas mencerminkan ia tidak layak menjadi pemerintah.
“Ianya boleh dipersoalkan termasuk dari segi kaedah, individu yang terlibat di dalam kaji selidik itu dan tidak mustahil pembangkang ada meletakkan orang mereka di dalam institusi yang membuat kajian tersebut,” kata Penyandang Kursi Pengajian Tun Abdul Ghafar Baba, Universiti Pendidikan Sultan Idris Prof Datuk Dr Zainal Kling.
“Macam-macam mereka buat. Inilah antara perang psikologi mereka kerana moral mereka telah jatuh ketika ini,” katanya.
Zainal tidak menolak kemungkinan akan ada lagi cubaan licik mereka untuk meraih simpati pengundi dan berkata pastinya BN perlu bersiap sedia untuk ‘melawan’ perang psikologi tersebut.
Penganalisis politik, Prof Madya Datuk Dr Zainal Abidin Borhan menegaskan kajian yang tidak telus sememangnya akan dipertikaikan ramai pihak.
“Setiap penyelidikan ada kaedah dan kita nak tahu kaedah bagaimana yang digunakan sama ada temu bual melalui telefon, e-mel atau bersemuka. Kita juga nak tahu adakah jumlah yang terlibat hanya daripada Universiti Malaya ataupun termasuk orang luar,” soalnya.
Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata tiada indikasi yang luar biasa yang menunjukkan kepopularan Anwar.
“Tiada keadaan atau kejadian luar biasa dalam masa terdekat ini yang boleh mengubah persepsi daripada hasil kajian-kajian sebelum ini yang mendapati populariti Najib jauh mengatasi Anwar.
“Saya pun musykil bagaimana UMCEDEL boleh memperoleh data sedemikian. Saya merasakan hasil itu tidak menepati keadaan sebenar,” katanya kepada Utusan Malaysia
Siapa Di sebalik UMCEDEL
Laman ini mempunyai kesimpulan sendiri berkaitan UMCEDEL.
AIDCNews 25 April melaporkan bukan rahsia umum lagi bahawa UMCEDEL adalah alat perang saraf yang berpihak kepada Anwar Ibrahim.
Pengarah UMCEDEL, Dr Mohammad Redzuan
Pengarah UMCEDEL, Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman adalah bekas Ketua Biro Tugas Khas Ketatanegaraan ABIM pada tahun 1995/97 dan dipilih sebagai Naib Presiden Antabangsa semasa Ahmad Azam Abdul Rahman menjadi Presiden ABIM.
Sekarang Dr Mohamad Redzuan adalah salah seorang Exco WADAH (Wadah Pencerdasan Umat Malaysia), NGO Islam yang dipimpin oleh sahabat baik Anwar, Dato’ Dr Siddiq Fadzil.
Dalam erti kata lain, Dr Mohamad Redzuan adalah salah seorang ‘panglima’ kepada Dr Siddiq Fadzil.
Dr Siddiq yang merupakan bekas Presiden ABIM selama empat penggal bermula pada tahun 1983 merupakan orang kepercayaan Anwar untuk menjustifikasikan kemasukan Anwar ke dalam UMNO.
Ketika itu, selain daripada menjadi Presiden ABIM, Dr Siddiq turut dilantik menjadi panel pemikir di badan pemikir Anwar, Institut Kajian Dasar (IKD) dan turut diberi kolum menulis di Berita Harian, kolum Minda Melayu Baru.
Ahmad Lutfi Othman, dalam bukunya “Memo Buat Bakal PM” mendedahkan Anwar melakukan perancangan secara halus memastikan kemasukan aktivis-aktivis ABIM Ustaz Fadzil Nor, Ustaz Abdul Hadi Awang, Ustaz Nakhaie Ahmad dan Syed Ibrahim ke dalam PAS untuk memastikan ABIM dikuasai oleh orang-orangnya bagi memudahkan kemasukan ke dalam UMNO pada tahun 1982.
Selepas Anwar dipecat dari UMNO pada 2 September 1998, Dr Siddiq merupakan individu pertama menggelarkan Tun Dr Mahathir Mohamad, ketika itu Perdana Menteri sebagai ‘Maha Firaun’ semasa membentangkan kertas kerja dalam seminar IKD di Park Royal Hotel, 10 Julai 1999.
Sekali lagi, Dr Siddiq memainkan peranan untuk ‘menguasai semula’ kepimpinan ABIM selepas Anwar dibebaskan dari penjara Sungai Buloh pada 2 September 2004.
Perkara ini dilakukan kerana ABIM di bawah kepimpinan Dr Yusri Mohamad dilihat lebih cenderung mengembalikan ABIM sebagai badan dakwah yang tidak berpihak kepada seseorang individu tertentu.
Portal Keadilan Daily, 13 Mac melaporkan Presiden Wadah, Dr Siddiq Fadzil memberikan Anugerah Khas ‘Sayyidatina Khadijah’ kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Penubuhan WADAH itu membuatkan Dr Siddiq selaku presidennya berkuasa semula ke atas ABIM dan PKPIM sepertimana pada era 1980-an.