PUTRAJAYA : Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya sebagai satu lagi komitmen beliau terhadap pelaksanaan agenda negara dalam membanteras rasuah terutamanya semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Perdana Menteri menandatangani ikrar tersebut sambil disaksikan Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mohd. Shukri Abdul dan Presiden Transperancy International (Malaysia) (TI-M), Datuk Paul Low.
Yang turut hadir pada majlis serba ringkas itu Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan para pemimpin parti komponen BN.
''Apabila nama calon BN yang akan bertanding pada PRU-13 diumumkan, saya akan pastikan mereka menandatangani ikrar tersebut.
''Calon-calon dari parti komponen BN sudah melalui proses saringan SPRM dan adalah sesuai untuk mereka mengambil komitmen menandatangani ikrar integriti untuk pilihan raya yang bersih dan adil," katanya di sini.
Menurut Perdana Menteri, tanggungjawab memenuhi ikrar tersebut terletak di atas bahu mereka yang telah menurunkan tandatangan.
''Dan adalah menjadi hak rakyat untuk memastikan wakil rakyat terbabit berpegang kepada akujanji yang telah dibuat, justeru itu, marilah kita bekerjasama ke arah mengukuhkan proses pilihan raya," katanya.
Maklumat terperinci berhubung akujanji itu boleh diperoleh menerusi laman sesawang TI-M. Orang ramai akan bertanggungjawab menjadi mata dan telinga untuk memantau kepatuhan wakil rakyat masing-masing memenuhi piawaian itu.
Maklum balas boleh disalurkan menerusi akaun Facebook calon atau Twitter wakil rakyat terbabit.
Ikrar Integriti yang digerakkan TI-M adalah kontrak sosial yang ditandatangani secara sukarela oleh mana-mana calon yang akan bertanding pada PRU kelak.
Antara lain calon akan berikrar mengangkat integriti, tadbir urus yang baik, ketelusan dan akauntabiliti di peringkat negeri dan persekutuan serta menegakkan kedaulatan undang-undang.
Sementara itu, Paul ketika bercakap kepada pemberita berkata, pelaksanaan ikrar tersebut membolehkan rakyat memantau pemimpin yang benar-benar mematuhi prinsip dan berintegriti.
''Langkah ini akan menggalakkan rakyat untuk mengambil tahu tingkah laku serta perbuatan individu yang telah menandatangani ikrar malah rakyat juga boleh berkomunikasi dengan mereka,'' katanya.
Katanya, Malaysia adalah negara pertama dalam kalangan komuniti TI yang menandatangani ikrar tersebut sekali gus menjadi contoh kepada usaha memerangi rasuah yang dimulakan di peringkat atasan.
''Kami gembira kerana Datuk Seri Najib secara personal komited menandatangani komitmen beliau sendiri terhadap ikrar ini,'' katanya.
Menurut Paul, pihaknya akan menggalakkan semua calon tanpa mengira parti untuk menandatangani ikrar tersebut bagi melihat sejauh mana komitmen mereka dalam mengangkat integriti dan ketelusan.
Setakat ini 20 individu telah menandatangani ikrar yang dibuat secara sukarela tanpa ada kaitan dengan kerajaan atau mana-mana parti politik.-Utusan
1 ulasan:
Saya dah paut blog anda pada blog saya
Catat Ulasan