PULAU PINANG 14 April - Siswa4U Universiti Sains Malaysia (USM) yakin aku janji Barisan Nasional (BN) yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mampu memacu kemajuan negara.
Pengerusinya, Mohamad Yazid Adhar Che Bae berkata, kepimpinan Najib selama ini telah memberi penekanan menyeluruh dan menyediakan peluang kepada rakyat berbilang kaum untuk mendapat taraf hidup yang lebih baik.
"Pembentukan dan pencapaian Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) yang telah diperincikan mengikut transformasi dalam pelbagai bidang itu memberi keyakinan kepada rakyat.
"Ketelusan yang diamalkan pula jauh berbeza dengan pentadbiran pembangkang seperti DAP di Pulau Pinang yang hanya bercakap kosong," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Mohamad Yazid Adhar, mereka yakin sebanyak 3.3 juta peluang pekerjaan baharu yang dijanjikan dengan dua juta daripadanya dalam sektor berpendapatan tinggi, akan ditunaikan.
"Perkembangan itu merupakan sesuatu yang baik kerana bersesuaian dengan keperluan graduan universiti.
"Malahan kami berterima kasih dengan bantuan yang diberikan kerajaan seperti akses kepada jalur lebar secara percuma di semua universiti," katanya.
Mohamad Yazid Adhar menambah, perkara sebaliknya dapat dilihat dalam janji dan tindak tanduk pakatan pembangkang yang gemar menjanjikan bulan dan bintang kepada rakyat namun tidak mampu menunaikannya.
"Dalam konteks di negeri ini, Kerajaan DAP Pulau Pinang yang sering melaungkan slogan Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) hanya nampak 'indah' dari luar tetapi tidak mengamalkannya.
"Kami banyak menghabiskan masa di sini, jadi kami tahu mereka tidak telus apabila menyorok pelbagai perkara yang seharusnya dimaklumkan kepada rakyat,'' ujarnya.
Katanya, hakikat bahawa hutang negeri ini berkurangan secara drastik adalah hasil daripada penstrukturan semula Pengurusan Aset Air Berhad oleh Kerajaan Pusat.
Menurut Mohamad Yazid Adhar, Ketua Menteri, Lim Guan Eng juga tidak mempedulikan keadilan sosial untuk rakyat selain meminggirkan golongan belia di negeri ini.
Sementara itu, Pengarah Strategik Siswa4U USM, Mohd. Basri Mohd. Saad berkata, Guan Eng juga lebih mengutamakan pembinaan terowong dasar laut walaupun dibantah pelbagai pihak seperti Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Penang Citizens Awaraness Chant Group.
"Kami berpendapat adalah lebih baik adil sekiranya peruntukan sebanyak RM6.3 bilion itu digunakan untuk program membantu rakyat miskin yang memerlukan.
"Selain itu, kami juga berasa pelik dengan sikap kerajaan negeri yang sebelum ini bersungguh-sungguh mahu menghapuskan tol tetapi mereka turut mengenakan tol kepada pengguna jika terowong itu siap kelak," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan