Dato’ Mukhriz Mahathir adalah sebuah nama yang begitu sinonim dengan rakyat Kedah, terutama di pelusuk-pelusuk kampung. Bagaimanapun, nama bapanya, nampaknya telah berlaku tidak adil kepadanya kerana walau sekuat manapun beliau bekerja, beliau tetap dituduh sebagai menumpang nama bapa. Walaupun beliau merangkak dan menapak dari bawah, beliau tetap dituduh naik lif terus ke atas.
Ini berlaku bukan sahaja dalam politik, tetapi dalam apa jua yang dilakukannya, seperti berniaga.
Tidak adil juga jika kita berkata bahawa nama bapanya tidak memainkan peranan langsung, tetapi itulah lumrah dunia di mana ‘nama’ memain peranan penting untuk menarik minat dan kepercayaan orang ramai, terutamanya dalam bidang perniagaan. Namun, itu tidak bermakna beliau menyalahgunakan pengaruh itu, kerana terbukti beliau seorang yang arif tentang selok-belok berniaga dan bukannya berjaya tanpa berusaha. Beliau juga pernah jatuh, bangun dan berhadapan dengan risiko, gagal serta bangun kembali.
Oleh kerana pengalaman yang luas dan ‘berpeluang’ menghadapi sendiri apa yang dikatakan persaingan di alam perniagaan sehingga dikategorikan sebagai antara tokoh yang paling berjaya, maka Dato’ Mukhriz pastinya cukup memahami jerih perih rakyat biasa.
Benarlah kata orang bijaksana, iaitu “ahli politik yang paling berkesan ialah ahli politik yang telah pun berjaya dalam bidang lain”.
Walaupun Dato’ Mukhriz telah mengukir namanya sendiri dalam persada negara, namun beliau tidak pernah mengabaikan kawasannya. Bukan sekali dua beliau bermalam di kampung-kampung rumah pemimpin cawangan malah berkali-kali. Beliau juga tidak kekok turun ke hutan dan meranduk selut untuk menghayati kehidupan orang kampung sekali gus memahami masalah mereka dan menyelesaikannya. Ini melenyapkan terus tuduhan bahawa beliau membawa imej ‘elit’ dan tidak sesuai dengan ‘keperibadian’ negeri Kedah.
Apa yang menarik ialah, segala kerja kuatnya ini jarang sekali dilaporkan atau diketahui oleh sesiapa melainkan orang-orang kampung jua. Oleh yang demikian, walaupun terdapat cakap-cakap negatif mengenai beliau di peringkat kepimpinan bawahan di Kedah, rakyat Kedah sendiri secara amnya, menadah tangan bersyukur dengan pencalonan Dato’ Mukhriz di DUN dan bukan Parlimen.
Pendek kata, berita tersebut diterima rakyat Kedah sebagai doa yang telah dimakbulkan. Ia juga turut membuktikan bahawa Dato’ Seri Najib benar-benar mendengar suara rakyat walaupun terdapat usaha yang cukup giat dari beberapa pihak untuk menyekatnya.
Namun, satu perkara yang membuatkan rakyat Kedah agak ‘cuak’ ialah kawasan yang bakal ditandingi Dato’ Mukhriz dikatakan sebagai sebuah kubu PAS, iaitu DUN Ayer Hitam.
Pada tahun 2008, Dato’ Mukhriz telah memenangi kerusi Jerlun dengan majoriti 2,205 manakala DUN Ayer Hitam yang berada di dalam Parlimen Jerlun dimenangi oleh Abdul Ghani Ahmad dari PAS dengan majoriti tipis iaitu 506 undi. Dalam PRU 2004, DUN Ayer Hitam telah dimenangi oleh Othman Aziz dari BN dengan majoriti 860 undi. Jumlah pengundi DUN ini dalam PRU tersebut ialah 24,939.
Justeru, untuk menyatakan kawasan ini sebagai kubu kuat PAS mungkin masih boleh diperdebatkan. Pastinya ada sebab musabab tertentu yang menyebabkan rakyat di DUN Ayer Hitam menukar pilihan mereka dari BN pada 2004 kepada PAS pada 2008.
Berdasarkan fakta di atas, maka tidak mustahil rakyat DUN Ayer Hitam akan menukar kembali ke BN pada tahun 2013 ini, atas faktor Dato’ Mukhriz.
Secara umumnya, harapan rakyat Kedah terhadap Dato’ Mukhriz amatlah tinggi dan sekiranya rakyat di DUN Ayer Hitam tidak membuat pilihan yang tepat, maka mereka pasti dianggap sebagai menghancurkan hati keseluruhan rakyat negeri itu.
Kedah memerlukan suntikan semangat baru untuk keluar dari kepompong ‘selesa’ serta bangun memajukan diri selaras dengan pengiktirafan ibunegerinya, Alor Setar sebagai sebuah bandaraya lama dahulu. Selama ini, ‘Bandaraya’ Alor Setar adalah bandar yang ‘mati’, tiada aktiviti. Semenjak diambil-alih oleh PAS pula, yang hidup hanyalah pusat-pusat karaoke sahaja, sementara peluang pekerjaan lain masih tiada.
Kedah dikatakan hanya selangkah sahaja ke hadapan dari Kelantan dari segi mentaliti dan sosial. Dari segi ekonomi juga, Kedah baru saja menjunam ke bawah akibat ketidakcekapan kerajaan PAS.
Dalam pada itu, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa cabaran untuk membangunkan Kedah dari segi ekonomi harus bermula dengan memajukan mentaliti rakyatnya terlebih dahulu.
Hari ini, pusat-pusat pelancongan yang berpotensi di Kedah masih tidak mampu menepati namanya sendiri sebagai ‘pusat pelancongan bertaraf antarabangsa’. Antaranya, Arus Deras Sedim, Pantai Merdeka, Kuala Kedah dan berbagai-bagai lagi. Hotel-hotel dan resort yang ada di Kedah juga dikatakan masih belum mampu menyaingi taraf profesionalisme hotel-hotel di kawasan pelancongan negeri lain seperti Melaka, Kuantan dan sebagainya. Semua ini berkait rapat dengan ‘mentaliti’.
Satu-satunya kawasan yang tampak ‘bertenaga’ di Kedah ialah Langkawi.
Dari segi pelaburan pula, Kedah turut menjunam selepas diambil alih oleh PAS. Menteri Besar Kedah yang ada kini, langsung tidak pernah membuat pertemuan dengan para pelabur sedia ada mahupun terlibat dalam misi-misi pelaburan negeri.
Oleh itu, dengan ketokohan Dato’ Mukhriz sebagai usahawan berjaya, kita pasti ‘menjana ekonomi’ bukanlah cabaran besar baginya, tetapi ia mungkin menjadi sukar sedikit kerana perlu terlebih dahulu menangani cabaran ‘mentaliti’ orang-orang sekelilingnya dan rakyat Kedah sendiri.
Kedah amat memerlukan Dato’ Mukhriz untuk memulihkan kembali segala kemusnahan dan kerosakan yang dilakukan oleh PAS. Sesungguhnya, kemusnahan dan kerosakan yang dilakukan oleh parti itu selama sepenggal, bukanlah sedikit.
Dan jika PAS masih terus kekal memerintah di Kedah selepas PRU ini, maka Kedah pasti akan kembali ke 20 tahun ke belakang, sehingga memerlukan berpuluh tahun lagi untuk pulih sepertimana di bawah BN sebelum ini.
Hari ini, rakyat Kedah seolah-olah meletakkan semua harapan terhadap Dato’ Mukhriz ke atas bahu pengundi di DUN Ayer Hitam. Harapan yang sama juga diletakkan ke atas bahu pemimpin-pemimpin BN, jentera parti, termasuk mereka yang tidak tersenarai sebagai calon, untuk membantu ‘meletakkan yang hak ditempatnya’ demi kebaikan semua.
1 ulasan:
Kedah perlu bersyukur dengan kehadiran Mukhriz demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat Kedah untuk berpuluh tahun kedepan...
Catat Ulasan